UPDATE : Harap Maaf. Laman ini masih lagi dalam kerja-kerja penambahbaikan , segala kesulitan amat dikesali. Terima Kasih. - WEbmaster.

Perihal Kolej

SEJARAH KOLEJ PENDETA ZA'BA
 
   Kolej Pendeta Za’ba merupakan sebuah kolej yang telah siap dibina pada tahun 1986. Pada waktu itu, Kolej Pendeta Za’ba dikenali sebagai Kolej Kediaman Kesembilan atau Kolej Bongsu. Tn Hj Ali Bin Sheikh Hj Yaacob merupakan pengetua Kolej yang pertama. Di bawah pentadbiran beliau, Kolej Kesembilan mengamalkan cara hidup yang amat harmonis dan setiap daripada warga Kolej adalah keluarga pada yang lainnya. Pada ketika itu, misi kolej adalah kreatif, produktif dan berdikari serta berkonsepkan “Ini Kolejku, Ini Rumahku”.


   Dengan berkonsepkan nama lima buah blok kediaman iaitu Arif, Cendekiawan, Pintar, Bijaksana dan Bestari, Tuan Haji Ali telah mengambil insiatif untuk menukar nama Kolej Kesembilan kepada Kolej Pendeta Za’ba. Majlis perasmian telah berlangsung pada 17 Disember 1988 dengan dirasmikan oleh Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Nayan Ariffin, Naib Canselor Universiti Pertanian Malaysia. Lanjutan daripada itu, majlis Malam Pendeta dianjurkan pada 3 Januari 1993 bagi mengumumkan nama baru bagi kesemua kemudahan yang terdapat sebelum ini. Pengumuman dibuat oleh Tuan Haji Ali di hadapan Yang Amat Arif Tun Dato’ Seri Abdul Hamid B. Hj. Omar, Ketua Hakim Negara dan seluruh warga kolej. Dengan itu, wujudlah Aspirasi Za’ba, Balai Seri Za’ba, Anjung Peradaban Za’ba, Dewan Za’ba, Khazanah Za’ba, hamparan Puteri Za’ba, Gelanggang Za’ba, Teratak Damai Za’ba dan Baitul Iman.


   Dr. Che Ross B. Saad meneruskan kesinambungan Kolej Pendeta Za’ba selepas Tuan Haji Ali menamatkan khidmatnya pada 1 Mei 1993. Di bawah kepimpinan beliau, tradisi kekeluargaan diperkukuhkan dan penekanan diberi kepada kemajuan akademik dengan wujudnya moto baru Kolej iaitu “Hanya Yang Terbaik”. Selain itu, sistem sekretariat disusun semula di mana kelab kelab sukan disatukan di bawah Sekretariat Sukan dan Rekreasi, Kelab Keusahawanan ditukarkan kepada Sekretariat Pembangunan Korporat, Kelab Komputer dimansuhkan dan diganti dengan Cyberlab. Cyberlab kemudian ditukarkan kepada Sekretariat Komunikasi dan Multimedia. Beberapa kemudahan kolej baru juga diwujudkan seperti Nadi Za’ba malah Tugu menyambut kedatangan di hadapan laluan masuk Kolej Pendeta Za’ba turut dibina. Ini sedikit sebanyak melambangkan minda warga kolej yang berkembang selaras dengan pembangunan kolej.


   Dr Taufiq Yap Yun Hin menggantikan tempat Dr. Che Ross pada 1 Mei 2000 selepas beliau menamatkan khidmat beliau. Dr. Taufiq adalah seorang yang bercirikan tegas dan amat mengambil berat tentang hal ehwal pelajarnya terutamanya dalam bidang akademik. Beliau melancarkan misi baru kolej iaitu Melahirkan mahasiswa yang cemerlang akademik, mempunyai sahsiah dan keterampilan yang baik serta tahu dan menguasai teknologi maklumat. Segala kemudahan infrastruktur dibaiki bagi menjamin warga Kolej mendapat kehidupan yang selesa. Ini terbukti dengan kelengkapan cyberlab yang semakin canggih dan pembinaan taman taman landskap yang menarik membuktikan kesungguhan usaha beliau. Galakan dan sokongan sentiasa diberikan kepada warga kolej seandainya hendak menganjurkan sebarang aktiviti yang difikirkan sesuai sejajar dengan tahap mereka sebagai seorang mahasiswa. Sumbangan beliau seakan akan membawa satu revolusi positif kepada Kolej Pendeta Za’ba.


Pentadbiran Kolej kemudian diterajui oleh Prof Madya Dr Hajah Asma Bt Haji Atna yang meneruskan kesinambungan kecemerlangan kolej bagi melahirkan mahasiswa yang disegani dan menempatkan Kolej Pendeta Za’ba sebagai antara kolej yang paling disegani di Universiti Putra Malaysia.


   Pada bulan Julai 2006, Dr. Mansor Bin Abu Talib telah dilantik sebagai Pengetua KPZ yang ke-5. Beliau merupakan seorang Pengetua yang sangat prihatin dan berdedikasi terhadap perkembangan keseluruhan warga kolej dan telah berjaya menaikkan nama KPZ di mata universiti. Selain sentiasa berdampingan dengan warga kolej, beliau juga telah memperkenalkan konsep "Sentiasa berada satu langkah di hadapan" kepada warga kolej. Berkat usaha beliau, KPZ kini dikenali sebagai salah satu kolej di Universiti Putra Malaysia yang memiliki kemampuan dan kredibiliti yang disegani.


   Dr. Hj. Muhammad Pauzi Bin Abd. Latif telah dilantik sebagai Pengetua Kolej Pendeta Za'ba pada bulan Disember 2006 bagi meneruskan tradisi kecemerlangan kolej. Beliau merupakan pensyarah dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dan mementingkan kebajikan warga kolej sebagai pemangkin kecemerlangan akademik, sukan dan sahsiah KPZ.